Thursday, October 4, 2012

Novel : Tidak Seindah Mimpi 27


Hari ini tubuhku berasa sungguh lemah . Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata dek rasa tidak selesa pada perutku. Kadang-kadang kurasakan perutku mengeras untuk beberapa minit kemudian berhenti untuk berjam-jam, kemudian mengeras kembali . Tetapi pagi ini perutku semakin kerap mengeras. Pinggangku terasa sakit. Aku cuba menggagahkan diri  untuk bangun ke bilik air dan bersiap untuk ke tempat kerja. Perlahan-lahan aku bangkit dari katilku namun kudratku berasa sungguh lemah saat ini. Aku cuba lagi untuk bangkit namun gagal. Ya Allah apa yang sudah terjadi padaku ini? Dengan sekuat hati aku cuba bangkit lagi , kerusi yang berada di sebelahku ku pegang kemas dan akhirnya aku berjaya bangkit.

Tiba-tiba aku rasakan ada cecair pekat mengalir di kakiku . Aku menunduk dan membelek kain sarung yang aku pakai. Ya Allah, darah! Aku panik…mataku terasa berpinar. Apa yang sedang berlaku ini ? Saat itu perutku semakin mengeras sehingga menyebabkan aku terduduk kembali di katilku. Perutku aku  tekan sekuat hati.  Aku terbaring lesu menahan kesakitan yang semakin mengganas. Kudratku tersangat lemah ketika ini. Tidak semena-mena air mata kesakitan mengalir dari tubir mataku .  Ya Allah…tolonglah aku..

Aku buntu. Tidak tahu mahu minta pertolongan siapa ketika ini. Pendarahan semakin banyak dan kali ini disertai dengan cecair jernih yang  dengan darah keluar membasahi lantai  tempat aku berpijak. Aku semakin tidak keruan. Aku yakin darah dan cecair ini datang dari rahimku.  Perasaanku semakin cemas . Yang mampu aku buat ketika itu cuma berdoa pada Allah semoga tiada apa-apa yang berlaku kepada anakku. Aku cuba berdiri tapi kesakitan yang teramat membatalkan niatku. Sudahnya aku hanya menangis tidak berlagu di situ.

Aku terlihat telefon bimbit di sebelahku. Terlintas di fikiranku untuk menelefon Rangga. Aku yakin hanya dia yang bisa membantuku ketika ini. Tanpa berfikir panjang , aku mencapai telefon bimbit itu dan terus mendail nombor Rangga..bunyi panggilan keluar kedengaran.

“Rangga…tolong aku…,” Aku bersuara dalam keadaan mengerang kesakitan.

 “Hello..Lina, kenapa ni?” Soal Rangga cemas.

“ Tolong cepatan datang sini…aku sakit bangat….,” Suaraku tenggelam timbul, separuh merayu. Aku tidak boleh fikir apa-apa kini selain rasa sakit yang sungguh perit…Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya aku. Terasa diriku seperti berada di hujung nyawa. Nafasku kian sesak.

“ Kenapa sih? Cuba omong sama aku…” Rangga sepertinya tidak faham maksud kata-kataku.

“ Rangga, aku sakit perut bangat….tolong aku Rangga..tolong datang sini cepat!” Jeritku dalam kesakitan.

“ Ok Lina..aku datang sekarang..,” Rangga terus mematikan talian sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu. Aku masih mengerang kesakitan.

Kepalaku semakin pening apabila melihat darah semakin banyak mengalir dari salur peranakanku ditambah pula dengan kesakitan dalam perutku yang melampau. Tidak pernah aku merasa sakit seperti ini. Ya Allah…mungkin ini balasanMu padaku…Aku sudah banyak berdosa padaMu..Ampunilah aku Ya Allah…Aku meratap pilu. Seksa sungguh kesakitan yang Engkau timpakan kepadaku Ya Allah…Ampunilah aku..ampunilah aku…Pandanganku semakin kabur dan perlahan-lahan menjadi gelap  dan….

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku membuka mata perlahan-lahan. Mataku berpinar-pinar. Kepalaku terasa berat. Apa yang sudah berlaku? Terasa seperti aku baru sedar dari mimpi ngeri.  Aku memandang suasana di sekelilingku , semua perabot di dalamnya serba putih. Terdapat beberapa wanita berpakaian putih sedang berdiri di situ. Di mana aku sekarang? Aku sedang bermimpi ke?

“ Lina…kamu udah sedar ya?” Aku terdengar suara memanggilku di sebelah kananku. Aku berpaling. Rangga sedang merenungku.

“ Rangga, di mana aku sekarang?” Soalku cemas. Aku cuba bangkit tetapi dihalang oleh Rangga.

“ Kamu sekarang berada di rumah sakit….” Jawab Rangga tenang. Sebuah senyuman manis terukir di bibirnya. Aku hairan. Rumah sakit?

“ Kenapa aku di sini? Apa jadi sama aku? Aku sakit apa?” Soalku bertalu-talu. Senyuman Rangga semakin melebar. Aku semakin hairan.

“ Tenang dong…kamu udah beranak sore tadi….aku ucapan tahniah sama kamu. Comel bangat sih anakmu…” Aku seakan tidak percaya dengan kata-kata Rangga . Aku sudah beranak ? Aku meraba-raba perutku. Sudah sedikit kempis. Benarkah?

“ Alhamdulillah…benar kah Rangga? Tapi mana anak ku? ” Soalku apabila melihat tiada seorangpun bayi di sebelahku.  Aku seolah-olah tidak percaya yang aku sudah melahirkan seorang anak yang aku nantikan selama ini.

“ Ada..di kamar bayi. Nanti aku bawakan kamu ke sana ya…Tapi sekarang kamu kena banyak beristirehat…Usah banyak bergerak, nanti kamu cepatan capek…” Pujuk Rangga.

“ Bawakan aku jumpa anakku…aku tidak sabar mau  melihatnya…”

“ Iya dong…nanti aku bawakan kamu ke sana…enggak sabar ya kamu…”
Aku sekadar tersengeh mendengar jawapan Rangga. Sungguh aku teruja kini. Aku tidak dapat menahan perasaan yang membuak-buak untuk bertemu dengan zuriat sulungku itu. Ternyata aku benar-benar gembira dengan khabar baik ini. Terima kasih Ya Allah….

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku memerhatikan wajah comel seorang bayi dalam rangkulanku. Kulitnya putih bersih dan  halus mulus, bibirnya munggil, matanya berkelopak dan bulu matanya sungguh lentik, pipinya sedikit tembam dan dihiasi dengan warna pipi yang kemerah-merahan dan anak matanya bercorak hazel. Aku sungguh terpukau dengan kecantikan anugerah Allah yang dikurniakan kepada bayi perempuanku itu. Sungguh cantik. Seakan tidak percaya bayi dalam rangkulanku kini adalah zuriatku. Naluri keibuan mula meresap ke dalam jiwaku perlahan-lahan.

Putri Nur Irdina Sofea. Itulah nama yang aku beri padanya…nama secantik wajahnya dan aku berharap dia akan menjadi wanita paling cantik  dan solehah apabila dia dewasa nanti. Aku mencium pipi anak ku beberapa kali. Perasaan sayang kepada anak itu semakin mekar. Aku tersenyum sendirian. Aku sungguh tidak menyesal mengandungkan dan melahirkannya. Aku bersyukur kepada Allah kerana masih lagi memberi taufik & hidayahnya supaya aku tidak menggugurkan kandunganku dulu. Kalau tidak, pasti aku akan menjadi orang yang paling menyesal di dunia ini . Benar kata Fatin,kawan baikku itu…anak ini langsung tidak berdosa.

Aku berjanji pada diriku, biarlah tanpa seorang suami atau ayah kepada anakku di sisi, aku pasti akan membesarkannya dengan kudratku sendiri supaya dia menjadi seorang anak yang berguna dan berakhlak tinggi kelak. Aku akan memberinya kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. InsyaAllah….Percaya atau tidak…kelahirannya sedikit sebanyak mengubat luka di hatiku dan mampu membuatkan aku untuk lupa seketika pada peristiwa hitam yang pernah menghantuiku. Mungkin inilah hikmah kepada segala kepahitan dan kesengseraan yang aku tempuh sebelum ini. 

2 comments:

Kata-kata anda amat bermakna..=)